gravatar

pemegang kad kredit akan di caj pd 2010

Caj Kad Kredit
Bismillahirrahmanirrahim
Salamullahi alaikum warahmatuhu wabarakatuh dan salam sejahtera,
Kerajaan melalui pembentangan bajet 2010, telah mencadangkan dan berhasrat mengenakan caj tahunan sebanyak RM50 kepada setiap pemegang kad kredit utama dan RM25 kepada setiap pemegang kad kredit tambahan. Caj tersebut akan tetap dikenakan walaupun kepada pemilik kad-kad kredit yang telah diiktiraf oleh pihak bank pengeluar sebagai ‘percuma seumur hidup’.
Sesungguhnya keputusan kerajaan tersebut telah sedikit sebanyak mengejutkan para pemegang kad kredit di seluruh negara. Sama ada kepada pemegang kad kredit yang sedang menanggung beban hutang kad kredit, ataupun mereka yang tidak langsung terlibat dengan hutang berkenaan. Sama ada mereka yang memiliki satu sahaja kad kredit kerana keperluan atau mempunyai berbilang kad. Tidak dinafikan ana secara peribadi juga turut terkejut dengan tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan berkenaan. Apa tidaknya kerana ana adalah salah seorang daripada sejumlah 11 juta rakyat yang memiliki dan menggunakan kad kredit di negara ini.
Antara alasan utama yang diberikan oleh pihak kerajaan sehingga keputusan seperti ini diambil ialah bagi melahirkan masyarakat yang berbelanja secara berhemah. Ana secara peribadi berterima kasih dan menyambut baik hasrat kerajaan seperti itu, kerana prinsip kerajaan berkebajikan adalah senantiasa memikirkan kebajikan rakyat-rakyatnya.
Namun sesekali ana terfikir juga dan bertanya sendirian. Mengapa pihak kerajaan tidak boleh mengecualikan caj berkenaan kepada rakyat yang hanya memiliki dan menggunakan satu kad kredit sahaja, dan menetapkan agar caj tersebut perlu dikenakan kepada pemilik kad utama yang memiliki kad kredit kedua hingga ke seterusnya, atau sekurang-kurangnya kepada pemegang kad kredit sampingan sahaja? Atau syarat-syarat lain yang difikirkan wajar menuju ke matlamat melahirkan pengguna bijak dan berhemah yang sebenar-sebanarnya.
Tidakkah penggunaan kad kredit hari ini merupakan suatu keperluan atau sekurang-kurangnya satu kemudahan yang tidak seharusnya ditinggalkan oleh mereka yang bijak menguruskan kewangan? Apa tidak bijaknya kalau sekiranya kad kredit digunakan sebagai alat yang memudahkan pengguna membeli di alam maya seperti tiket-tiket kapal terbang, keretapi, bas, buku atau membayar bil, membayar yuran pengajian, cukai pintu secara online dan sebagainya? Kerana di alam maya, wang kertas memang tidak diterima pakai.
Tidakkah bijak mereka yang menggunakan kad kredit sebagai kad yang memberikan pulangan berbentuk mata ganjaran? Sehingga mereka membeli barangan keperluan seperti di super market; sama ada makanan, pakaian, barangan dapur dan sebagainya itu, mereka akan diberikan mata ganjaran yang memberi lebih nilai kepada wang mereka. Kalau bayar tunai, mereka seolah-olah rugi kerana mereka hanya dapat apa yang mereka beli sahaja, sebaliknya dengan menggunakan kad kredit dan diberikan mata ganjaran tertentu, mereka akan dapat membawa balik dengannya barangan-barangan yang lain juga. Dengan itu membantu mereka berjimat kerana tidak perlu membeli beberapa jenis barangan dengan nilai wang tunai sebaliknya hanya dengan tukaran mata ganjaran.
Tidakkah seorang pengguna kad kredit itu bijak, kerana menguruskan wang simpanannya yang dibiarkan di dalam akaun sehingga akhir bulan (bil kad kredit dikeluarkan) dan mereka mendapat sedikit hibah pula daripada simpanannya itu. Kerana kalau pada hari gaji mereka telah mengeluarkan sejumlah besar atau kesemua wang untuk berbelanja, di mana lagi mereka dapat mengecapi hasil tambahan daripada kuasa wangnya? Tidakkah mereka bijak kerana pada akhir bulan, dan setelah mendapat hibah, mereka terus memindahkan kredit dari akaun asal untuk membayar bil kad kredit tanpa merugikan masa pergi ke mesin-mesin ATM yang berisiko terhadap aktiviti rompakan dan samunan. Atau sekurang-kurang keciciran wang.
Tidakkah pengguna kad kredit itu cerdik dan bijak apabila mereka membayar bil kad kredit bulanannya secara keseluruhan, kerana pihak bank tidak akan mengenakan sebarang caj perkhidmatan kepada pengguna yang sangat berdisiplin tersebut? Malah perkhidmatan yang disediakan oleh pihak bank untuk menanggung bayaran pembeliannya selama sebulan itu adalah percuma sepercuma percumanya. Tiada sebarang caj perkhidmatan dikenakan sebaliknya diberikan lagi mata ganjaran sebagai pengiktirafan kepada kesetiaan dan disiplin pengguna berkenaan.
Tidakkah pengguna kad kredit itu bijak apabila mereka menggunakannya untuk membiayai pembelian dengan plan bayaran mudah (easy-payment). Selain mereka tidak dikenakan caj bulanan ke atas jumlah pembelian (biasanya dalam jumlah RM1000 ke atas) mereka pula dibenarkan hanya membayar secara bulanan dalam amaun yang mampu. Sama sahaja seperti bayar tunai, tetapi menikmati bayaran ansuran dengan tidak dikenakan caj tambahan.
Berdasarkan kepada pengamatan dan penilaian ana yang amat terhad ilmunya ini, ana merasakan, sekiranya seseorang itu hanya menggunakan satu kad kredit sahaja, dan mereka menggunakannya dengan sangat bijak sebagaimana dibincangkan di atas, memang tidak sepatutnya mereka dikenakan caj baru RM50 dengan alasan menjaga kebajikan dan membantu pengguna menguruskan kewangan yang berhemah. Hal ini kerana beliau sebenarnya telah menjadi seorang pengguna yang berhemah dalam berbelanja dan menguruskan kewangannya. Sebaliknya dengan caj seperti itulah (RM50) telah menjadikannya seorang yang tidak berhemah pula secara terpaksa, mandatori dan tiada pilihan.
Pemikiran ana ini pula ditambah dengan kritikan, rintihan dan keluhan beberapa orang rakan, sama ada melalui blog mereka, atau di mana-mana ana berjumpa, kata mereka “perkara ini dilakukan semata-mata kerana untuk mengambil peluang keuntungan ke atas pemegang kad kredit”. Sekali dengar memang macam tohmahan saja. Tetapi ana tidak pasti sekiranya ada dalam kalangan pengguna yang mungkin bersetuju dengan kenyataan sedemikian walaupun dengan nilai yang tidak sampai 100%.
Sesungguhnya, ana mengaku bahawa telah menggunakan kad kredit semenjak tahun kedua bergaji tetap (2002) dan ia berterusan sehingga kini. Dengan hanya satu kad kredit dan (alhamdulillah syukur banyak-banyak kepada Allah) tidak pernah tertanggung hutang kepada pihak bank pengeluar ataupun dikenakan caj walaupun hanya satu sen kerana ana; 1. membayar bil bulanan secara keseluruhan sebelum tarikh tamat; 2. tidak pernah melakukan pengeluaran tunai menggunakan kad kredit, malah ana telah membakar pin kad kredit tersebut pada saat pertama ia sampai ke muka pintu rumah; dan 3. menggunakan kad kredit berstatus ’percuma seumur hidup’.
Ana masih berharap, agar perkara ini masih lagi berada dalam kajian dan pertimbangan pihak kerajaan. Mungkin respon daripada pihak-pihak terlibat seperti pihak bank pengeluar kad kredit, persatuan pengguna dan juga respon para pengguna sendiri, membantu pihak kerajaan dalam meneliti dan mempertimbangkan semula cara implimentasi caj berkenaan. Ana hanya menganggap tulisan yang kecil ini sebagai satu daripada keluhan hati seorang rakyat Malaysia yang ingin melihat hasrat murni dan matlamat kerajaan menjaga kebajikan rakyat benar-benar tercapai.
Demi mendapat kapastian lanjut, ana juga turut menghubungi terus pihak bank pengeluar kad kredit ana yang telah banyak berjasa itu. Hari ini ana mendapat jawapan seperti di bawah:
Terima kasih di atas emel encik yang bertarikh 24 Oktober 2009 berkenaan dengan kad kredit.
Berdasarkan emel encik yang telah kami terima, maka kami ingin memaklumkan bahawa memandangkan “Perbelanjaan Negara bagi tahun 2010″ baru sahaja diumumkan oleh pihak kerajaan Malaysia, maka buat masa ini kami masih lagi sedang mendapatkan kepastian samada caj tersebut tetap akan dikenakan atau boleh ditolak berdasarkan syarat-syarat yang tertentu. Apabila semua perkara ini telah disahkan secara rasmi, pihak kami akan menghantar surat/notis rasmi kepada semua pemegang kad kredit kami untuk rujukan lanjut.
Ana berharap dan terus berharap, dalam masa dua bulan yang ada ini (sebelum Jan 2010) pihak bank dapat mencari jalan terbaik demi kepentingan pelanggan mereka yang bijak menguruskan kewangan seterusnya tidak menyusahkan mereka. Sesungguhnya pengguna kad kredit yang berhemat sebenarnya secara tidak langsung telah membantu mereka mengembangkan reputasi dan nama baik bank; yang dapat membiayai perbelanjaan pelanggan dengan konsisten, dalam masa sama mereka mendapat sedikit keuntungan daripada komisen yang dikenakan kepada para pekedai yang menggunakan mesin kad kredit mereka kepada para pelanggan yang tertarik untuk membeli belah di kedai mereka kerana menyediakan kemudahan bayaran dengan kad kredit dan sebagainya.
Itulah rantaian atau kitaran manfaat yang dinikmati secara bersama oleh pengguna, pembekal dan pekedai dalam penggunaan kad kredit. Perkara seperti ini tidak harus dilihat sebagai peluang sesetengah pihak mengaut keuntungan sebaliknya dilihat sebagai alat memberi dan menjamin kebajikan semua pihak termasuklah para pengguna.
Wallahu aklam.

(sumber: ibnrajab online.wordpress)

Facebook :

Sejarah SK Bangsar

Klik Badge di atas untuk ke laman Facebook. Tq.

Pengikut

PENGUMUMAN :

Guru Oh Guru:

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


USMAN AWANG
tajuk "Guru oh Guru"
1979

Pembaca Facebook:

Time :

NBA Design @ 2009
l Kembali l l Kategori l l Pautan Guru l


Tema Sound-Guru Msia

Feedjit

Create your own banner at mybannermaker.com!
KLIK UNTUK INFO LEBIH LANJUT