suku akhir kedua
Terengganu kejut Selangor
Oleh Khairul Anuar Samad, Hamid Salleh, Bashah Zainol Abidin dan Kamudin Baharombhsukan@bharian.com.my
Skuad Penyu gah iringi NS, Kelantan, Perlis layak separuh akhir PENJAGA gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee menghancurkan impian Selangor menyapu bersih empat gelaran domestik, musim ini apabila menyempurnakan penentuan sepakan penalti, malam tadi untuk menjulang pasukan mara gah ke separuh akhir Piala Malaysia, musim ini dengan keputusan 5-4 selepas terikat agregat 2-2. Turut layak ke kelompok empat terakhir adalah Negeri Sembilan, Kelantan dan Perlis yang masing-masing merakamkan kemenangan selasa.
Sharbinee, sebelum itu menyelamatkan sepakan Nasriq Baharom tampil untuk mengambil sepakan terakhir yang diarahkan ke bucu kanan Hamsani Ahmad - sekali gus menggamatkan
penyokong yang membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Terdahulu perlawanan terikat 1-1 sehingga masa tambahan dengan tuan rumah mendahului menerusi Abdul Manaf Mamat minit ke-12 sebelum Selangor menyamakan kedudukan menerusi R Surendran minit ke-62. Terengganu akan bertemu Negeri Sembilan pada separuh akhir pertama, Selasa ini. Negeri Sembilan menjaringkan tiga gol pada babak pertama permainan bagi memastikan slot separuh akhir milik mutlak mereka dengan kemaraan agregat 5-0 mengatasi Kuala Muda Naza di Alor Setar.
Satu lagi separuh akhir akan menemukan Kelantan menentang Perlis apabila kedua-dua pasukan mengekalkan kelebihan yang dimiliki pada timbal balik pertama dengan kejayaan di tempat sendiri, malam tadi. Kelantan, yang kali terakhir membuat penampilan pada final Piala Malaysia 39 tahun lalu, memastikan tiket ke pusingan empat terakhir dengan kemenangan 3-0 ke atas KL Plus di Stadium Sultan Mohd IV bagi kejayaan agregat 4-1. Perlis, juara dua kali, juga mara dengan agregat 4-1 selepas menundukkan Johor FC 2-0 di Stadium Utama, Kangar hasil jaringan Amar Rohidan, minit kelapan dan Mohd Nizaruddin Yusof, tiga minit selepas rehat.